Ribena adalah HARAM
diambil daripada forum di internet
azri-afifi.cjb.net
LONDON: Pemimpin Islam di Birmingham menggesa diadakan rombakan menyeluruh
dalam undang-undang pengguna selepas kemunculan berita menggemparkan bahawa
dua minuman ringan kegemaran mengandungi arak.
Birmingham Post semalam melaporkan ramai peniaga membuang stok Ribena dan
Lucozade selepas pengguna mendapati ramuan perisa air minuman itu
mengandungi arak meskipun pada paras yang rendah. Peraturan makanan tidak
mensyaratkan pengeluar produk itu, Glaxo-SmithKline menyenaraikan arak pada
bungkusan minuman itu kerana kandungan arak itu pada kadar yang rendah.
Bagaimanapun, umat Islam yang diharamkan daripada meminum arak mendakwa
semua minuman ringan seharusnya dilabelkan dengan jelas jika ada ramuan yang
bercampur arak meskipun amat sedikit.
Empat tahun lalu, Walkers, sebuah syarikat makanan, menukar label pada
bungkusan kerepeknya selepas akhbar Birmingham Post mendedahkan snek keju
dan bawangnya mengandungi ekstrak lembu tidak sembelih.
Kandungan arak dalam Ribena dan Lucozade adalah kurang daripada 0.1 peratus
tetapi umat Islam memberitahu Birmingham Post bahawa mereka kecewa selepas
mengetahui bahawa mereka sejak sekian lama meminum arak meskipun pada paras
yang teramat rendah.
Pengerusi Masjid Jamik Birmingham, Dr Mohammed Naseem menyuarakan rasa
terkejutnya kerana undang-undang itu masih membenarkan kandungan dalam
makanan atau minuman tidak dinyatakan dengan jelas pada label.
"Kita amat kecewa kerana sebelum ini umat Islam menganggap minuman ringan
seperti Ribena dan Lucozade ini halal tetapi sebaliknya," katanya.
Pekedai yang juga anggota Persatuan Peniaga Ladypool, Mohammed Zaman Khan
berkata penjualan Ribena dan Lucozade jatuh mendadak sejak beberapa minggu
lalu dan beliau memastikan produk itu tiada pada rak kedainya.
Jurucakap Glaxo-SmithKline memberi alasan label minuman dan makanan pasti
tidak dapat dibaca jika peraturan mensyaratkan semua komponen bagi
penyediaan makanan itu dinyatakan.
"Sesetengah bahan perasa mengandungi lebih 50 komponen. Kami amat sensitif
dengan keperluan budaya pengguna dan cuba menangani isu itu jika ia
dimaklumkan kepada kami," katanya.
Beliau mengakui minuman tenaga Lucozade berperisa asli, limau, tropika dan
sitrus mengandungi paras rendah arak begitu juga dengan lima perasa yang
disediakan untuk Ribena. - Agensi
www.muslimnews.co.uk/news/news.php?article=5976
|