:: Menu ::

Muka Depan

Perisian

Teknik Belajar

Belajar ICT

Nota Ilmiah

Sambungan

Hantar Mesej

Tanya Guru

Hiburan

Kenali Diri Saya


:: Capaian ::

ASMKAWA Online

LAWdotEDU

Harvest Moon HQ

SMKAWA Online



 

:: Fakta-fakta Menarik ::

Kembali Ke Artikel

Syed Mokhtar Al-Bukhary yang tidak begitu dikenali


HAMPIR kami tidak sedar betapa lelaki setinggi lebih enam kaki yang duduk bercerita tentang zaman kecil dan harapan masa depannya itu adalah ahli perniagaan yang dinamakan sebagai orang ketujuh terkaya negara.

Orangnya cukup simple, cepat mesra dan cepat pula membuatkan kami berasa selesa duduk menghadapnya mendengar dia bercerita.

``Apa yang saya ada pada hari ini bukannya datang dengan jalan singkat. Saya terpaksa terlebih dulu melalui segala pahit dan maungnya,'' kata Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Kisah hidup tokoh korporat yang tidak begitu diketahui umum ini tidak ubah seperti cerita dongeng yang lazim kita baca di buku cerita. Tetapi apa yang diceritakannya kepada kami tengah malam itu adalah realiti.

``Saya orang miskin, beranak pun dalam dangau,'' katanya yang berasal dari Alor Star, Kedah.

Beliau anak ketiga daripada tujuh adik-beradik. Keluarga itu nyata cukup besar untuk ayahnya yang berniaga menjual lembu dan kerbau.

Syed Mokhtar dihantar untuk tinggal selama enam tahun bersama bapa saudaranya yang bekerja sebagai askar di Johor. Beliau kembali ke Alor Star ketika usianya 15 tahun, umur yang dilihat mula memahami realiti hidup.

Dalam sibuk bersekolah beliau membantu orang tuanya berniaga. Ayahnya yang berjual di pasar selalu singgah di sekolah meminta Syed Mokhtar memeriksa kira-kira perniagaan hari itu semasa kelas berhenti rehat.

``Saya mula belajar buka dan tutup akaun,'' katanya.

Selain itu beliau juga pemerhati yang cekap. Ilmu berniaga sedikit demi sedikit dihayatinya dengan memerhatikan ayahnya berurusan dengan pembekal lembu dan kerbau dari Thailand.

Bakat Syed Mokhtar memang sudah terserlah. Dalam tempoh dua tiga tahun saja, beliau mampu membelikan rumah teres untuk keluarganya hasil daripada keuntungan berniaga lembu dan kerbau. Beliau juga membeli sebidang tanah untuk berkebun.

Tidak lama selepas itu, ujian yang pertama datang - lembu dan kerbau ternakan ayahnya diserang penyakit kuku dan mulut. Syed Mokhtar terpaksa berhenti sekolah untuk mengambil alih perniagaan daripada ayahnya.

Kalau ayahnya menjual kerbau dan lembu hidup, serangan penyakit kuku dan mulut itu menyebabkan Syed Mokhtar beralih berniaga daging kerana risikonya yang lebih rendah.

``Saya terlibat dalam dunia perniagaan ini kerana saya tidak ada pilihan lain,'' katanya, yang sudah aktif berniaga ketika kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970. Umurnya ketika itu 19 tahun.

Syed Mokhtar membeli daging dari satu pasar ke satu pasar, membungkusnya dengan ais untuk dijual di pekan-pekan lain. Perniagaan itu tidak begitu menjadi tetapi dari satu segi ia menambahkan keyakinan kepada beliau untuk terus memajukan diri.

Dan ternyata rezeki Syed Mokhtar memang ada di tempat lain. Ketika berada di Kuala Lumpur pada suatu hari, beliau bertemu seorang kawan yang membuka jalan untuknya memohon permit lori.

Syed Mokhtar mendapat empat permit lori Kelas A atas nama Syarikat Kenderaan Sentosa mengambil sempena nama hotel tempat beliau menginap. Beliau kemudian memohon pinjaman RM110,000 daripada Mara, wang yang hanya cukup untuk membeli dua buah lori, yang nombor platnya masih beliau pakai sehingga hari ini.

Di Alor Star, Syed Mokhtar yang tidak begitu mahir mengendalikan perniagaan pengangkutan itu kemudiannya menggajikan seorang Cina dari sebuah syarikat pengangkutan. Ketika itu jugalah ada peniaga Cina yang menawarkan mahu menyewa dua permit lori yang tidak dipakai itu.

``Tetapi saya tidak beri. Saya tidak mahu gadai maruah saya sendiri,'' katanya.

Rezeki Syed Mokhtar cukup murah. Hutang pinjaman Mara itu dapat diselesaikannya dalam masa dua tahun saja. Beliau juga menyewa beli lot kedainya yang pertama melalui Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) di Jalan Teluk Wanjah di Alor Star.

Dengan dua buah lori itu, Syed Mokhtar berniaga beras. Bagaimanapun beliau sedar kedudukan orang Melayu dalam bidang perniagaan yang dikuasai oleh Cina itu. Beliau kemudian mengajak dua kenalan Cina untuk menjadi rakan kongsi - Ng Giak Ghee dan Chua Choong Tan, peniaga dan pengilang beras.

``Saya pegang 52 peratus, Ghee 32 peratus dan Chua 16 peratus,'' katanya.

Syarikat beras itu boleh dikatakan membentuk peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenal hari ini apabila beliau membawa pulang RM1,500 duit elaun pertamanya sebagai pengarah syarikat.

``Emak kata separuh simpan, separuh lagi beri kepada jiran yang susah dan memerlukan,'' katanya.

Dari situlah bermula agenda sosial dan kerja kemasyarakatan Syed Mokhtar yang berterusan sehingga sekarang. Beliau bukan saja menghulurkan wang kepada keluarga yang memerlukan tetapi juga disuruh oleh ibunya menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadan.

Hari ini beliau telah menjadikan agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatannya itu sebagai satu institusi melalui penubuhan Yayasan Al-Bukhary.

``Apa yang saya buat ini semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri,'' katanya sambil menegaskan sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang itu walau setinggi mana pun kejayaan yang telah dicapai.

Syed Mokhtar percaya bahawa segala nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan kepadanya itu adalah untuk dikongsi bersama orang lain yang memerlukan.

``Tuhan akan memberi peluang kepada sesiapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dari dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutamanya mereka yang dari pekan tidak boleh.''

Sungguhpun dipandang tinggi oleh banyak orang, Syed Mokhtar sebaliknya melihat beliau masih lagi belum berjaya.

``Saya tidak anggap saya berjaya di tengah-tengah bandar orang Cina ini,'' katanya merujuk kepada Kuala Lumpur.




>
(diambil dari forwarded email)

azri-afifi.cjb.net